KRONOLOGI BLOG

Tiada kata seindah bahasa, Tiada blog seindah Kronologi, blog yang diterajui oleh seorang remaja lelaki yang banyak ceritanya tetapi masih gagal dalam bab penyampaian cerita. Satu sahaja peganganku, " Kalau tiada rupa, tiada wang hanya ilmu sahaja yang membolehkan kita berdiri tanpa merasa kecil walau dimana jua. " maka kutiplah ilmu walaupun didalam blog ini..

Keputusan yang baik atau buruk

Berbumbungkan cahaya mentari yang menyinari di kala menunggu waktu berbuka membuatkan tekak semakin kehausan namun itulah kelebihan Ramadhan yang mana walaupun matahari di atas kepala tetapi cuacanya  tidak terlalu panas, tambah pula kadang-kala ditiup angin sepoi-sepoi bahasa membuatkan langkah semakin bertenaga walaupun seharian berpuasa.

Mengambil langkah mula ke bazaar pada waktu petang sememangnya langkah yang tak pernah memenatkan, sambil menjamu mata dengan juadah berbuka, aku keluar mengambil angin petang, dikala langkah diatur aku bertemu dengan seorang kawan yang juga mempunyai arah tujuan yang sama. Berbual kosong sehinggalah sampai ke gerai yang pertama, satu dialog terkeluar dari mulutku.

"Sebarang keputusan yang kita buat, kita tidak boleh berpatah balik oleh itu kita terima saja dan redha sama ada ianya keputusan yang baik atau tidak untuk kita."

Setiap apa jua keputusan yang kita lakukan secara sedar atau tidak, secara automatiknya akan mempengaruhi hidup kita, dan dengan keputusan yang kita lakukan itulah yang mengubah hidup kita ke arah lebih baik atau sebaliknya. Mungkin kita lihat mengambil keputusan ke bazaar ramadhan bukanlah suatu keputusan yang bakal mengubah hidup kita tapi sedarkah kita ianya sedikit sebanyak sebenarnya telah mengubah cara dan juadah waktu berbuka. Dengan mengambil keputusan untuk tidak ke bazaar, kita berkemungkinan hanya akan berbuka dengan segelas air kosong.

Soal kebaikan atau keburukan dari keputusan yang kita lakukan sebenarnya sudah tertulis sebagai takdir kita, takdir buruk atau takdir baik itu semuanya ketentuanNya.

Setiap keputusan yang kita lakukan sememangnya tidak boleh berpatah balik dan jika ianya boleh pun ditarik balik ia tak akan sama seperti sebelum kita membuat keputusan itu, setiap keputusan kita itu ada baik dan buruknya yang mana akan mempengaruhi hidup kita. Dari keputusan yang kita lakukan, ianya bukannya mengubah hidup kita bahkan mereka yang disekeliling. 

Keputusan yang kita lakukan sememangnya dari kita sendiri tapi adakah kita gembira dengan keputusan yang kita lakukan, gembira sewaktu keputusan dibuat itu mungkin tapi mungkinkah kegembiraan itu akan berlarutan sehingga hasil keputusan kita keluar. Jangan ingat semua keputusan yang dibuat itu mengembirakan kita, itulah sebabnya ada tips untuk membuat keputusan agar keputusan yang dibuat memberi kebaikan kepada kita.

Namun setelah keputusan dibuat, apa yang boleh kita lakukan hanyalah menunggu hasil keputusan kita sama ada ianya baik atau buruk untuk kita dan sekiranya buruk maka redhalah dan cubalah perbaiki diri agar keputusan seterusnya akan memberi hasil yang positif. Fikirlah sebaiknya sebelum membuat keputusan kerana sebagai seorang manusia kita punya ego. EGO yang membuatkan kita tidak mengalah dengan keputusan yang kita lakukan, keputusan yang kita tidak tahu kebenarannya.

Tiada keputusan yang baik dan buruk, yang ada hanyalah keputusan yang baik dan keputusan yang buruk. Ia umpama ramadhan dan syawal, ia tidak boleh berlaku secara serentak.

Apa yang kita lakukan akan memberi impak kepada kita tak kira impak positif atau negatif. Dan pastinya kita mahukan impak yang positif, jadi bagaimana kita mahu menolak impak yang negatif?

Buatlah keputusan sebetulnya dan redha dengan segala ketentuanNya.

 
Web Analytics